Friday, November 4, 2011

Konsert ‘NING @ KL LIVE’ 2 Disember Janji Magik!

Kali terakhir membuat persembahan secara besar-besaran menerusi konsert ‘Teguh’ di Stadium Negara pada tahun 1996,penyanyi, pelakon bersuara Soprano, Ning Baizura kini bakal mencipta satu lagi momen dalam sejarah seninya dengan mengadakan konsert ‘NING @KL LIVE’ Jalan Sultan Ismail pada 2 Disember 2011 pada jam 8.30 malam.

Disifatkan sebagai konsert apresiasi kepada sekalian peminatnya yang tidak berhenti menyokong jatuh bangun karier seninya selama hampir 18 tahun bergelar anak seni, konsert anjuran HappeNings (M) Sdn Bhd bakal menyaksikan 10 pemuzik handalan bakal mengiringi persembahan Ning yang diperkasakan dengan kesan bunyi 5.1 surround di atas pentas berkonsep putaran serta dilengkapi dengan latar pentas berskrin LED mega ciptaan Raja Malik.

Menurut Pengarah Produksi & Pengarah Muzik, Aylwin Santiago, ‘NING @KL LIVE’ menjanjikan pengalaman magik dan momen terindah mungkin tidak akan dilupakan buat seluruh penonton yang hadir kelak kerana menjanjikan beberapa kelainan unik yang mungkin tidak pernah dibuat oleh mana-mana artis di Malaysia sebelum ini.

“Kami sememangnya teruja, kerana selain rekaan pentas yang menarik kami juga akan menyusun pelbagai elemen muzik sepeti muzik berunsur Ghazal, oriental, Melayu Jawa dan elemen barat (dance) signifikan dengan diri Ning yang datang dari pelbagai budaya dan bangsa. Apa yang mampu kami katakan ia pastinya sesuatu yang magik,” ujar Aylwin lagi.

Bakal mengenakan persalinan rekaan Michael Ong dan Jovian Mandagie pada malam konsert nanti, Ning turut memilih konsep bunga melatari konsert solo keduanya nanti.

“Saya memilih konsep bunga kerana merasakan bunga telah banyak memberi inspirasi dalam hidup mahupun karier Ning selama 18 tahun dalam industri ini. Sedari album pertama lagi saya telah menggunakan bunga pada kulit album dan saya rasa ia merupakan konsep terbaik,” jelas Ning lagi ketika ditemui pada Sidang Media kosert ‘NING @KL LIVE’ semalam.

Konsert yang berdurasi selama dua jam setengah itu akan menyaksikan lima jenis bunga menjadi segmen konsert iaitu bunga Teratai, bunga Matahari, bunga Jasmin, bunga Mawar dan bunga Orked.

Pemilihan lima jenis bunga itu disifatlan Ning sebagai lambang kepada dirinya yang berdarah campuran Melayu, Arab, Jawa, Cina, India dan Belanda.

Tambah Ning lagi, rasional pemilihan tapak konsert iaitu KL Live adalah sebagai mengenang semula detik 16 tahun lalu di mana Ning buat pertama kalinya beraksi di atas pentas KL Live sewaktu menyertai pertandingan ‘Voice of Asia’ yang telah menjadi penanda arus karier seninya.

Bakal mendendangkan lebih 20 buah lagu dipetik dari album lama dan baru, Ning berharap dapat
menghiburkan para peminatnya dan memberikan yang terbaik untuk semua yang hadir pada malam konsert nanti.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket boleh dilakukan dengan melayari laman web www.tickethotline.com.my pada harga bermula RM150 hingga RM375.


Link to full article

No comments:

Post a Comment