“Se-Merah Padi sudah aman, tetapi jiwaku masih berperang, diantara kesucian dan dosa. Dosa yang telah ku lakukan. Mahligai bahagiamu telah kuruntuhkan. Dara bukan gadis lagi…” itulah bait-bait dialog terkenal yang dipetik dari karya klasik seniman agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, ‘Se-Merah Padi’.
Bakal menjadi ‘acara penutup’ di Istana Budaya untuk tahun 2011, karya filem tahun 1956 ini bakal diangkat menjadi sebuah pementasan teater yang akan ditayangkan di Istana Budaya pad 22 hingga 31 Disember ini.
Membariskan barisan pelakon berbakat besar, Teater ‘Se-Merah padi’ dibarisi nama-nama hebat seperti Fauzi Nawawi, Zul Huzaimy, Jue Aziz, Fazlina Dato’ Ahmad Daud, Datuk Baharuddin Haji Omar dan ramai lagi, pengarah teater ‘Sri Mersing’, Rosdeen Suboh sekali lagi diberi kepercayaan selaku pengarah untuk teater terbitan Keno Production.
“Saya akan mengekalkan konsep spiritual Islam dan mistik Melayu dalam teater ini. Saya akan mengekalkan 80% dari segi dialog manakala 20% pula diubah iaitu dari aspek plot dan watak. Ia masih mengekalkan tema yang diangkat dalam filem tersebut, perubahan ini hanyalah dibuat mengikut kesesuaian pentas,” ujar Rosdeen ketika ditemui pada Sidang akhbar teater ‘Se-Merah Padi’, di Istana Buday, petang semalam.
Menurut penerbit, Megat Mohd Noor Salleh Ghani atau Keno, dia percaya naskah penuh ‘nilai’ Allahyarham P.Ramlee ini adalah sesuatu yang sangat dinanti-nantikan ramai.
“Sayang jika filem yang kaya dengan nilai estetika sehebat ‘Se-Merah Padi’ ini dilupakan dan tidak diangkat menjadi sebuah naskah teater. Bagi saya naskah ini merupakan penghulu kepada semua filem klasik melayu,” ujar Keno.
Tambah Keno lagi, adengan sula dan sebat yang signifikan dengan filem tersebut turut dipaparkan pad pementasan teater tersebut kelak. Menurutnya, kedua-dua babak itu merupakan kekuatan dan mampu memberi mesej penting untuk dijadikan iktibar kepada penonton teater ‘Se-Merah Padi’ khususnya generasi muda pada zaman ini.
Selain Keno yang bertindak selaku penerbit Eksekutif, teater ini dinanungi oleh KDYMM Tuanku Sultan Pahang, teater ini turut menampilkan figura hebat dunia seni muzik, Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) selaku Pengarah Muzik dan Rahimah Muda selaku Penulis Adaptasi Skrip
Dari layar skrin hitam putih kini bakal dipersembahkan di panggung teater bertaraf dunia, tiket untuk teater ‘Se-Merah Padi’ dijual pada harga RM30, RM50, RM80, RM150 dan RM200 dan boleh didapati di Box Office@Istana Budaya dan laman www.ticket2u.biz.
Link to full article
No comments:
Post a Comment