Bagai tak sudah. Bagai tiada penghujung.
Ramai yang tahu, jika kisah mengenai persatuan melibatkan industri hiburan negara kita, pasti ada sahaja masalah. Terbaru, kisah Gafim vs FDAM. Gafim atau Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) adalah gabungan 11 persatuan yang terlibat dalam industri hiburan negara ini.
Sebelum ini, Persatuan Filem Malaysia (PFM) sudahpun mengucapkan selamat tinggal kepada gabungan ini. Ia kini dianggotai Persatuan Pekerja Professional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swan) dan Persatuan Penyiar Kebangsaan Malaysia (Penyiar).
Beberapa persatuan baru turut menyertai gabungan itu iaitu Persatuan Penyanyi, Penulis Lagu Tanahair (Papita), Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Persatuan Kebajikan Penghibur – Penghibur India Malaysia (Miewa), Persatuan Artis Cina Malaysia (AMCA) dan Persatuan Industri Rakaman India Malaysia (Irim).
Terkini, FDAM digantung keahliannya dengan justifikasi keputusan itu atas alasan FDAM memalukan Presiden GAFIM, Jurey Latiff Rosly. Jurey memegang tampuk kepimpinan Gafim sejak dipilih pada Julai lalu.
Untuk rekod, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sudah menyerahkan kepercayaan kepada Gafim untuk meneraju serta menganjurkan Festival Filem Malaysia ke-24 November ini dan FDAM bertindak sebagai badan yang bertanggungawab terhadap promosi serta publisiti festival itu.
Wartawan OHBULAN! sempat menemui pemangku presiden FDAM, Mokhtar Abu Bakar bagi mendapatkan pengesahan mengenai penggantungan FDAM sebagai ahli gabungan GAFIM, ketika berada di Johor Bahru minggu lalu.
Menurut Mokhtar, pihaknya dipanggil untuk memberi penjelasan kepada Gafim baru-baru ini namun ia tidak dapat dihadiri atas sebab yang tak dapat dielakkan. Pada 19 Oktober lalu, FDAM melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Jurey kerana memberi kenyataan yang tidak adil terhadap FDAM.
Malah tindakan GAFIM yang membuat kenyataan di akhbar baru-baru ini, mengenai isu campur tangan perletakan jawatan presidennya, Ahmad Ibrahim atau Mat London selain memburuk-burukkan FDAM dianggap amat memalukan persatuan tersebut.
Gafim melalui kenyataan media turut meminta FDAM menghantar surat tunjuk bagi menjawab isu berkenaan. Susulan dari kenyataan balas FDAM itu, satu mesyuarat dikatakan diadakan Gafim bagi mendapatkan penjelasan dari kepimpinan GAFIM.
“Pada ketika itu, saya dipanggil untuk ke mesyuarat. Namun atas sebab ipar saya meninggal dunia, saya tak dapat menghadiri mesyuarat itu. Kebetulan, pada waktu itu timbalan presiden pun tak dapat hadirkan diri kerana ada hal penting,” ujar Mokhtar memulakan perbualan.
“Saya sudah jelaskan sebab saya tak dapat hadir. Malah saya turut menghantar AJK FDAM, Abdul Rahim Awang, sebagai wakil. Namun begitu, mereka tetap tak puas hati,” katanya.
Abdul Rahim turut memegang jawatan dalam Gafim sebagai Pemeriksa Kira-Kira.
“Itu yang saya terkejut. Kenapa GAFIM tak bagi peluang pada FDAM untuk bersemuka walaupun tak puas hati dalam mesyuarat? Esoknya, saya dapat tahu, keahlian FDAM digantung melalui panggilan telefon,” katanya dalam nada kesal.
Ditanya sama ada FDAM meminta untuk menangguhkan mesyuarat itu, Mokhtar berkata permohonan itu ditolak Gafim. Mokhtar berkata lanjutan dari perkembangan terbaru itu, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan ahli exco FDAM dan mendapat persetujuan tiada keperluan untuk membuat rayuan terhadap penggantungan itu.
“Kami tidak akan merayu,” katanya ringkas.
Ketika ditanya adakah berbaloi untuk meneruskan Jelajah Festival Filem Malaysia di Johor Bharu, Mokhtar menjawab, “Kita buat untuk industri dan telah dipertanggungjawabkan oleh FINAS. Sepatutnya ada lagi tiga lokasi selepas ini. Namun disebabkan krisis ini, ini adalah siri jelajah FFM yang terakhir.”
“Kalau kita bertindak pentingkan diri sendiri, tak mustahil industri perfileman negara akan lingkup. Sepatutnya jalan penyelesaian harus diselesaikan dalam mesyuarat.”
“Nasihat saya pada semua produser filem, teruskan membantu dan menyokong industri kita secara profesional. Soal penggantungan adalah hal lain,” ujar Mokhtar mengakhiri perbualan.
Link to full article
No comments:
Post a Comment